Tradisi ‘Mangarani / Batasmiyah’, Majlis Memberi Nama Anak Masyarakat Banjar
Salah satu amalan apabila lahirnya seorang bayi adalah
amalan memberi nama . Adalah menjadi kewajipan kepada ibu bapa bayi
tersebut untuk memberikan nama yang mempunyai makna yang baik-baik.
Dalam tradisi masyarakat Banjar, amalan memberi nama anak dikenali
sebagai majlis “Mangarani Anak” atau “Batasmiah. Amalan mangarani anak
yang bermaksud ‘menamakan anak’ adalag amalan turun termurun serta
diwarisi dari generasi awal masyarakat Banjar yang berasal dari
Kalimantan Selatan, Indonesia.Pada kebiasannya, amalan batasmiyah ini dilakukan setelah bayi berumur 7 hari atau setelah tali pusat bayi itu kering dan tercabut dari pangkal pusat. Kuatnya pengaruh Islam dalam budaya hidup masyarakat Banjar ini menyebabkan amalan mangarani anak ini sering dilakukan bersama majlis aqiqah. Suatu ketika dahulu, amalan batasmiyah mengandungi upacara menepung tawar, iaitu merenjiskan minyak khas kepada bayi dan ibunya, diiringi oleh doa-doa menolak bala dari para ‘tatuhak’ atau orang-orang tua dalam kalangan masyarakat dan sanak saudara. Namun kini, amalan menepung tawar tidak lagi dilakukan dalam amalan batasmiyah.
Majlis
batasmyiah dimulai dengan semua tetamu hadir dan duduk bersila di atas
lantai . Kemudiannya, bayi yang akan dinamakan dalam majlis ini akan
dibawa ke tengah para hadirin yang hadir. Selepas semua para hadirin dan
sanak saudara terdekat hadir, majlis akan dimulakan dengan membaca
ayat-ayat Al-Qur’an Surah Ali ‘Imran ayat 33 hingga ayat ke 37.
Pembacaan ayat Al-Quran ini akan dibaca oleh tuan guru atau ustaz yang
baik bacaannya, kemudiannya akan dibaca secara beramai-ramai.Ketika bacaan ayat-ayat Al-Quran ini dilakukan, bapa bayi tersebut akan menghalakan bayinya itu ke arah orang yang membaca Al-Qur’an tersebut untuk diperdengarkan bacaan Al-Qur’an. Falsafah dari perbuatan tersebut ialah supaya anaknya apabila dewasa nanti menjadi manusia yang sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai pegangan hidupnya serta taat perintah Allah dan Rasul-Nya.
Selepas dibacakan Al-Quran, majlis diteruskan dengan upacara memberi nama oleh tuan guru atau ustaz dengan mengucapkan ‘Bismillahirrahmannirrahim’, seterusnya menyebutkan nama yang diberikan oleh bapanya. Setelah nama diberikan, ia akan disusuli dengan bacaan doa oleh tuan guru atau ustaz dan diaminkan oleh seluruh hadirin yang hadir.
Anak yang sudah diberi nama ini akan dibawa berkeliling oleh ayahnya untuk ditapung tawari dengan minyak likat baboreh. Tapung tawar diberikan oleh beberapa orang tua yang hadir di acara tersebut (terutama kakeknya) disertai doa-doa untuk si anak.
Setelah
selesai upacara ‘mangarani’ , rambut bayi tersebut dipotong sedikit
dengan gunting diiikuti dengan amalan ‘bertahnik’ iaitu memasukkan madu
dan air zam-zam ke dalam mulut bayi. Selepas itu, majlis akan diakhiri
dengan bacaan doa selamat diikuti dengan jamuan makan. Pada
kebiasaannya, bayi yang diraikan itu akan di’pukung’ dan dibawa
kehadapan majlis untuk disaksikan oleh para hadirin yang hadir.Kini, amalan mangarani anak atau batasmiyah ini masih lagi di amalkan oleh masyarakat Banjar di Malaysia khususnya dikampung-kampung yang didiami oleh majoriti masyarakat Banjar seperti di Batu Pahat dan Mersing di Johor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam di Selangor juga di Sungai Manik dan Bagan Serai di Perak.
No comments:
Post a Comment