Ibu bapa
ialah insan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka kita tidak
akan berpeluang merasa nikmat kehidupan di muka bumi ini. Jasa bakti mereka
yang telah melahir dan membesarkan kita amatlah bernilai. Justeru sebagai
seorang anak, kita perlulah sentiasa menghormati mereka.
Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan
sebagai tanda menghormati mereka. Antaranya ialah dengan menunjukkan kepatuhan
dan ketaatan kepada mereka. Sebagai ibu bapa mereka akan menentukan apa yang
terbaik untuk anak-anak. Sudah semestinya setiap keputusan atau pilihan yang
mereka lakukan adalah bertujuan untuk kebaikan kita. Tidak ada mana-mana ibu bapa di dunia ini pun
yang bertindak atau membuat keputusan yang boleh merosakkan kehidupan
anak-anak.
Kita juga boleh menunjukkan rasa hormat kepada
mereka dengan cara mendengar nasihat dan
menerima setiap teguran daripada mereka dengan hati yang terbuka. Sebagai
manusia biasa kita tidak mungkin lari daripada tersilap langkah dan melakukan
kesilapan. Nasihat dan teguran mereka bertujuan untuk memberi bimbingan dan panduan
demi kebaikan kita sendiri.
Di samping itu belajar bersungguh-sungguh dalam
pelajaran juga merupakan satu cara yang boleh kita lakukan sebagai tanda
menghormati ibu bapa. Ibu bapa telah bersusah payah melahirkan kita,
membesarkan dan memberi pendidikan kepada kita. Mereka bermandi peluh untuk
menyara dan membesarkan serta bersengkang mata menjaga kita ketika kita sakit.
Sebagai membalas jasa mereka, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh agar berjaya mencapai cita-cita. Kejayaan
dalam pelajaran pastinya akan membuatkan ibu bapa kita berasa bangga dan
gembira.
Selain itu, membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja
rumah yang bersesuaian seperti mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk selepas
makan, membersihkan halaman rumah serta membantu menjaga adik juga adalah
merupakan satu lagi cara menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang terhadap
mereka. Bantuan kita dapat meringankan beban tugas serta keletihan mereka
bekerja seharian. Mereka tentunya berasa gembira dan bangga mempunyai anak-anak
yang ringan tulang.
Secara
ringkasnya dapatlah dirumuskan bahawa terdapat banyak cara untuk menunjukkan
rasa hormat kepada kedua-dua ibu bapa kita. Menghormati dan membalas jasa ibu
bapa merupakan tanggungjawab anak-anak dan ia juga dituntut oleh agama. Hormati
dan sayangilah ibu bapa sementara mereka
masih ada.
Salah satu amalan apabila lahirnya seorang bayi adalah
amalan memberi nama . Adalah menjadi kewajipan kepada ibu bapa bayi
tersebut untuk memberikan nama yang mempunyai makna yang baik-baik.
Dalam tradisi masyarakat Banjar, amalan memberi nama anak dikenali
sebagai majlis “Mangarani Anak” atau “Batasmiah. Amalan mangarani anak
yang bermaksud ‘menamakan anak’ adalag amalan turun termurun serta
diwarisi dari generasi awal masyarakat Banjar yang berasal dari
Kalimantan Selatan, Indonesia.
Majlis
batasmyiah dimulai dengan semua tetamu hadir dan duduk bersila di atas
lantai . Kemudiannya, bayi yang akan dinamakan dalam majlis ini akan
dibawa ke tengah para hadirin yang hadir. Selepas semua para hadirin dan
sanak saudara terdekat hadir, majlis akan dimulakan dengan membaca
ayat-ayat Al-Qur’an Surah Ali ‘Imran ayat 33 hingga ayat ke 37.
Pembacaan ayat Al-Quran ini akan dibaca oleh tuan guru atau ustaz yang
baik bacaannya, kemudiannya akan dibaca secara beramai-ramai.
Setelah
selesai upacara ‘mangarani’ , rambut bayi tersebut dipotong sedikit
dengan gunting diiikuti dengan amalan ‘bertahnik’ iaitu memasukkan madu
dan air zam-zam ke dalam mulut bayi. Selepas itu, majlis akan diakhiri
dengan bacaan doa selamat diikuti dengan jamuan makan. Pada
kebiasaannya, bayi yang diraikan itu akan di’pukung’ dan dibawa
kehadapan majlis untuk disaksikan oleh para hadirin yang hadir.