baaelunsiber

Monday, July 27, 2015

Kamu telah mengikut ibu bapa kamu ke pasar malam. Ceritakan pengalaman kamu itu.



Kamu telah mengikut ibu bapa kamu ke pasar malam. Ceritakan pengalaman kamu itu.



 Sebaik-baik sahaja selesai menikmati hidangan makan malam, ibu dan bapa mengajak saya pergi ke pasar malam yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Kami ke sana dengan berjalan kaki dan mengambil masa selama 10 minit sahaja.

       Setibanya di sana, saya dapati orang ramai telah pun berasak-asak berjalan di antara gerai-gerai yang terdapat di pasar malam tersebut. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, India dan Cina. Suasana pada ketika itu riuh-rendah dengan orang ramai yang mengunjungi pasar malam itu.

             Ibu membeli sayur-sayuran segar yang dijual di situ kerana harganya sangat berpatutan. Saya mengambil kesempatan untuk pergi ke gerai bersebelahan untuk membeli ayam goreng berempah. Kedengaran suara para penjual berteriak memanggil para pelanggan supaya membeli barang-barang di gerai mereka.

       Kami terpaksa berjalan perlahan-lahan kerana keadaan  di pasar malam sungguh sesak. Semasa berjalan, kami terserempak seorang peminta sedekah yang kudung kakinya, duduk di atas jalan raya sambil menadahkan tangannya untuk meminta sedekah daripada orang ramai yang lalu-lalang di situ. Saya begitu bersimpati dengan peminta sedekah itu, dan menghulurkan wang sebanyak RM5.00, lalu beredar dari situ.

            Selepas itu,  ibu saya membeli beberapa helai baju yang digemarinya.Ayah hanya membeli sepasang kasut sahaja.Saya membeli dua keping apam balik, selonggok jagung rebus dan sebungkus kacang kuda untuk dibawa pulang ke rumah. Pada ketika itu, orang ramai yang berada di pasar malam itu mulai berkurangan dan suasana mulai agak sunyi  serta para peniaga  juga mulai mengemas barang-barang mereka.         

            Kami pun pulang ke rumah sambil menjinjing beg plastik yang dipenuhi dengan barang-barang yang kami beli. Sesungguhnya pengalaman pergi ke pasar malam bersama ibu dan bapa saya sememangnya amat menyeronokkan.

6 comments: