baaelunsiber

Thursday, June 27, 2013

Guru...

KU SEORANG GURU DI PEDALAMAN SARAWAK - 2

Jam menunjukkan 12.00 tengah malam. Dan aku masih lagi di sekolah menyiapkan tugasan sekadar yang mampu dan online. Sambil menyelam, aku minum air. Sambil menyelam bawa serampang dua mata untuk menembak ikan

" Tak boleh tahan dah, aku dah lebam, aku kena balik" Bisik hati aku

Dalam kegelapan malam Long San yang agak pekat, aku melangkah pulang ke rumah kira-kira 5 minit perjalanan yang terletak di kampung seberang. Hanya Lampu Suluh jenama Police yang aku beli di Asia Sonic Miri jadi panduan aku dalam menyuluh kepekatan gelap itu, di samping Ayatul Kursi yang berbisik tersemat di bibir dan di hati.


 Semua rumah jiran-jiran aku sudah gelap, memang biasa hidup di kampung-kampung, mereka tidur awal. Aku teruskan langkah aku berjalan ke rumah dengan pantas tetapi berhati-hati kerana hujan renyai-renyai mulai turun.

Aku tiba rumah. Ya, teratak buruk yang sering cikgu Abdul Rahim Mohd Gobil katakan berpuaka itu. Memang gelap, segelapnya. Benar, rumah aku tiada bekalan elektrik, hanya janaan generator isian petrol berkuasa kuda 7.5 jadi sandaran. Dengan hati-hati, aku melangkah terus ke belakang rumah lalu menuju ke arah generator ku. Lalu, Aku pulas kunci, tolak "choke" dan tarik tali penghidup.

"Praanggggggggggggg"

Bersuara sudah generator berkuasa 4 lejang itu. Rumah aku mulai terang, dan aku terus melangkah ke pintu, memulas mangga yang mengikat rantai serta pintu itu. Kalau ku bercerita tentang mangga, ada lebih 5 ketul mangga aku sematkan di pintu, kerana sudah 2 kali rumah ku dipecahkan orang-orang nakal dan mencuri makanan aku di dapur. Ku buka pula mangga pintu dapur dan ku petik suis yang lain.
Setiba langkah aku di pintu bilik, aku rasakan sesuatu. Roma leher ku meremang tiba-tiba. Aku berasa suatu yang janggal, asing serta serang. Apakah alamat yang Illahi hantarkan pada aku?

Orang tua kata jangan pandang belakang, tapi aku degilkan jugak. Apa nak jadi, jadi la. Agi idup, agi ngelaban.Sesuatu berwarna hitam dengan duri tajam nya tegak sedia menghadapi aku. Benar, aku rasa goyang tapi aku jadi geram. Kala Jengking Sebesar tapak tangan dewasa jadi lawan aku malam itu. Dengan spontan aku merentap kayu penyapu lalu memukul haiwan berbisa itu

Aku tak mahu jadi mangsa!
 


Namun haiwan hitam itu masih gagah dan mampu bangkit kembali. Aku berundur, lalu mencapai papan tebal sepanjang sedepa tangan ku, lalu ku hempas ke atas si Jengking itu. Badannya pecah dan terputus dua. Aku lelah, namun aku lega. Jika aku jadi mangsanya, aku tidak tahu nasib aku seterusnya.
Syukur kepadaNya kerana memberi alamat kepada aku dalam menghadapi si Bisa ini. Benar, Tuhan lah yang menentukan qada' dan qada ku. Apa boleh buat, di sini, aku hidup dengan diri aku. Semua aku wajib buat sendiri. Takkan nak menunggu nasi putih dan telur dadar termasak dengan sendiri.

Malam ni kala jengking, harap tiada ancaman pula pada hari-hari esok. Semoga esok lebih baik daripada hari ini

(Salam sayang dari Baram)

No comments:

Post a Comment